Friday 29 April 2011

KERJA MELIBATKAN BERSALAMAN DENGAN WANITA

 Pergaulan antara lelaki dan wanita di tempat kerja sudah menjadi satu fenomena biasa pada hari ini, dan tergolong dalam kategori “umum al-balwa” (bahaya dosa yang sukar dielakkan). Namun begitu tidak semua jenis percampuran dan pergaulan lelaki dan wanita di tempat kerja itu jatuh dalam kategori haram. Jika pergaulan itu dapat dikawal sebaiknya, dosa masih boleh dielakkan. Apa yang penting, semua aspek komunikasi yang meningkatkan syahwat, menggoda, mendedahkan aurat, pandangan nafsu dan sentuhan adalah antara faktor dosa yang boleh berlaku di tempat kerja.
Walaupun begitu, gaji seseorang tidak semestinya menjadi haram disebabkan tingkah laku dosanya di tempat kerja kecuali apabila ia culas dan “mencuri tulang” semasa melaksanakan tugasan utamanya.
Sebagi contoh, seorang yang bertugas selaku pensyarah IT di sebuah universiti, tentu gajinya halal. Malah sekiranya dia culas dan melakukan maksiat seperti tidak solat, bergaul bebas dengan wanita di tempat kerja, gajinya masih halal. Hal ini kerana maksiat itu bukanlah bidang tugasnya, cuma perbuatan maksiat itu adalah dosa secara berasingan dan secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada rezeki dan keberkatan pendapatannya. Namum jika si pensyarah ponteng daripada tugasan mengajarnya tanpa sebab munasabah, menyelewengkan anak muridnya semasa pengajiannya, tatkala itu gajinya boleh berubah menjadi haram.
Adapun isu berjabat tangan antara lelaki dengan wanita telah lama diperdebatkan dalam kalangan ulama. Majoriti mazhab dan ulama kontemporari berpandangan ia haram kerana ia tergolong dalam kategori perilaku yang boleh membawa kepada zina. Allah secara jelas telah melarang kita agar jauhkan diri daripada mendekati zina.
Selain itu, terdapat beberapa hadis lain yang menyokong ijtihad ulama ini seperti hadis bahawa Nabi tidak pernah menyentuh wanita bukan mahram hatta ketika berbalah. Ada hadis yang menyatakan  besi di atas kepala lebih baik daripada sentuhan dengan wanita bukan mahram dan sebagainya. Namun, saya tidak berhasrat untuk memanjangkan perbincangan berkenaannya dalam ruangan terhad ini.
Ada sebahagian kecil ulama khususnya ulama kontemporari, berpandangan berjabat tangan lelaki dan wanita dibenarkan tanpa syahwat, yang dimulai oleh orang lain (bukannya kita). Contohnya wanita bukan Islam menghulurkan tangan di hadapan orang ramai yang mana jika tidak disambut boleh mengaibkannya, dan beberapa syarat lagi.
Apa pun hujah kedua-dua pihak, berjabat tangan  antara lelaki dan wanita yang bukan mahram bukanlah amalan Rasulullah dan para sahabat serta para solihin. Namun begitu, jika berlaku dalam kerjaya seseorang, kehalalan gaji seseorang tidak tertakluk kepada hal tersebut tetapi gajinya tertakluk kepada bidang tugas utama dalam kejayanya dan cara perlaksanaan yang dilakukan. Jika dilakukan secara “culas” dan sambil lewa, status halal gajinya akan terkesan.
Berkenaan sama ada perlu atau tidak berhenti kerja kerana hal itu, saya kira tidak perlu. Apa yang perlu dilakukan adalah cuba mengawal aktiviti yang melibatkan dosa itu dan elakkan daripada kekerapan berlakunya. Pada masa yang sama memperbanyakkan istighfar dan taubat secara berterusan. Namun, jika ada kemudahan dan peluang untuk mendapat kerjaya lain yang lebih minimum terdedah dengan hal sedemikian, sudah tentu ia lebih baik unutk berhijrah.

~petikan dari ustaz zaharuddin abdul rahman.. ~

LIDAH TENTUKAN LANGKAH MANUSIA KE SYURGA ATAU NERAKA

KATA Imam al-Ghazali, lidah antara nikmat Allah SWT yang besar dan antara ciptaan Tuhan yang amat halus dan ganjil. Lidah mempunyai bentuk yang indah, kecil dan menarik.
Selanjutnya Imam al-Ghazali berkata: “Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”
Daripada kata Imam al-Ghazali itu jelas menunjukkan kepada kita besarnya peranan lidah dalam kehidupan manusia kerana lidah kita boleh masuk syurga dan kerana lidah juga boleh dihumban kita ke neraka.
Oleh kerana lidah boleh membawa kebaikan dan keburukan dalam hidup manusia, kita perlu sentiasa berwaspada menggunakan lidah sewaktu bertutur kata. Dengan kata lain, kita hendaklah bijak menggunakan lidah apabila bercakap.
Sekiranya kata yang kita ucapkan boleh menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati atau terguris, ia boleh mendatangkan keburukan kepadai kita. Pepatah ada mengatakan kerana mulut badan binasa.
Justeru, sebelum kita berkata sesuatu hendaklah berfikir terlebih dulu. Kita gunakan lidah untuk berkata sesuatu yang baik dan tidak sia-sia atau lebih baik lagi kita diam. Itu lebih memberi manfaat daripada kita berkata perkara yang boleh mendatangkan dosa. Sesungguhnya orang beriman tidak bercakap perkara yang sia-sia dan tiada berfaedah.
Daripada Abu Hurairah diriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: “Siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang jelik budi pekertinya serta kotor lidahnya.” (Hadis riwayat Imam Tirmidzi)
Menurut Rasulullah SAW ada tiga jenis manusia, iaitu yang mendapat pahala, selamat daripada dosa dan binasa.
Orang yang mendapat pahala sentiasa mengingati Allah, berzikir, mengerjakan solat dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang binasa sentiasa melakukan perkara mungkar, maksiat dan tidak mengawal lidahnya dengan baik.
Kita dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya. Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal yang baik saja, tidak menyakiti hati orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka mengawal lidah sebaik-baiknya.
Dalam hadis yang diriwayatkan Tirmidzi dan Ibnu Majah, Abu Hurairah menceritakan apabila Rasulullah SAW ditanya sebab terbesar yang membawa seseorang masuk syurga, Rasulullah menjawab: “Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah menjawab, “Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan.”